SHAH ALAM, 20 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan tradisi tahunan sejak 20 tahun lepas dengan mengagihkan 6,000 bekas bubur lambuk percuma kepada masyarakat umum dan petugasnya sepanjang Ramadan tahun ini.
PKNS dalam kenyataan memaklumkan sebanyak RM48,000 diperuntukkan bagi menjayakan edaran itu di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Ramadan Kasih PKNS.
“Sempena pelancaran edaran bubur lambuk hari ini, sebanyak 1,000 bekas diedarkan kepada orang awam khususnya mereka di sekitar bandar raya Shah Alam.
“Buat kali pertama upacara pelancaran dan edaran bubur diadakan di Aneka Walk sekali gus memperkenalkan lokasi itu sebagai destinasi baharu yang dijangka menjadi tumpuan utama warga Shah Alam,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis pelancaran dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.
Hadir sama beberapa pemain bola sepak Selangor FC termasuk Safuwan Baharudin, Faisal Halim, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Izwan Yuslan yang menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai.
PKNS memaklumkan agihan bubur lambuk kepada warganya dijadualkan pada 25 Feb dan 4 serta 11 Mac manakala orang awam pada 4 Mac di Datum Jelatek Shopping Centre dan 11 Mac di Evo Mall dengan setiap sesi melibatkan 1,000 bekas.
Selain itu, PKNS menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan Kasih bernilai RM10,000 kepada Yayasan Belia Malaysia yang akan memberi manfaat kepada 50 keluarga melibatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan telur bagi meringankan beban penerima sepanjang bulan mulia ini.
“Seperti tahun sebelumnya, PKNS mengatur pelbagai inisiatif CSR sempena Ramadan termasuk program pertama pada 7 Feb yang melibatkan 26 anak yatim daripada Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam dibawa membeli-belah pakaian raya.
“Program berikutnya ialah penyerahan sumbangan kepada pertubuhan sama pada 21 Feb dan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Pulau Indah 1 Mac di Masjid Kampung Raja Uda disusuli Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS di Shah Alam Convention Centre (SACC) yang turut meraikan anak yatim,” menurut kenyataan itu.
PKNS memaklumkan semua inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan memerlukan, malah mencerminkan komitmen berterusan PKNS dalam menyemarakkan nilai kebersamaan dan keberkatan Ramadan kepada masyarakat secara menyeluruh.
-- BERNAMA