GAYA HIDUP

"Anak Bulus" Turut Bergaya, Baju Raya Kucing Jadi Trend Aidilfitri

16/03/2026 09:50 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri dengan membeli baju baharu dan menghias rumah, ada individu yang turut menyediakan kelengkapan raya buat haiwan kesayangan mereka.  

Daripada baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok hinggalah baju kurung berwarna-warni, trend memakaikan “anak bulus”  dengan baju raya kian meningkat dalam kalangan pemilik kucing kerana menganggap haiwan itu sama seperti ahli keluarga yang lain. 

Bagi Raziellia Nor Saafri, 35,  idea memakaikan baju raya pada haiwan kesayangannya itu bermula sekadar suka-suka sebelum menjadi tradisi setiap kali Aidilfitri sejak 2023.

pic-2

“Masa itu saya tengok di TikTok ramai yang pakaikan kucing mereka baju raya. Saya rasa menarik dan terfikir untuk buat perkara sama untuk semua kucing saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yang tambah menarik perhatian ialah wanita ini mempunyai 58 ekor kucing dan kesemuanya dipakaikan baju raya dijahit sendiri oleh ibunya yang mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan.

“Saya rasa tak adil kalau hanya seekor yang dipakaikan baju. Jadi, saya buat untuk semua supaya tiada yang ketinggalan. Kalau beli, agak mahal sebab harganya hampir sama dengan baju manusia,” katanya. 

pic-3

Bagi menjimatkan kos, Raziellia membeli kain kapas sepanjang 30 meter pada harga RM3 semeter sebelum dijahit secara berperingkat, iaitu kira-kira dua hingga tiga pasang sehari.

“Kain kapas lebih sesuai sebab tahan ditarik kuku kucing dan tidak mudah rosak berbanding fabrik seperti satin atau sifon,” katanya.

Walaupun kelihatan comel, anak jati Pulau Pinang itu berkata kucingnya hanya dipakaikan baju untuk tempoh singkat ketika mengambil gambar atau video bagi mengelakkan haiwan terbabit berasa tidak selesa.

“Lepas ambil gambar terus tanggal sebab kucing pun rasa panas. Saya juga tidak paksa semua kucing peliharaan saya pakai, kalau ada yang nampak stres, kita tak pakaikan,” katanya yang turut menghasilkan pakaian raya kucing secara kecil-kecilan untuk dijual pada harga sekitar RM10 sepasang.

pic-4

Seorang lagi pemilik kucing, Athirah Lope, 28, juga berkongsi minat sama apabila memakaikan baju raya pada haiwan peliharaannya sebagai cara meraikan Aidilfitri bersama-sama dengan “ahli keluarga”  berkaki empat itu.

Katanya baju berserta songkok tersebut dibeli di sebuah pameran haiwan peliharaan dengan harga RM20 hingga RM30 sepasang.

“Reaksi kucing saya nampak sedikit keliru, tetapi pakaian itu tidak mengganggu pergerakannya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534780