BUENOS AIRES, 18 Mac (Bernama-Xinhua) -- Argentina secara rasmi menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, kata Menteri Luar Pablo Quirno.
Beliau berkata dalam hantaran di media sosial bahawa Argentina memaklumkan keputusan itu menerusi satu nota yang dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 Mac 2025.
Selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai Undang-Undang Perjanjian, penarikan diri itu berkuat kuasa setahun selepas notifikasi berkenaan.
"Negara kami akan terus menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan menerusi perjanjian dua hala dan forum serantau, sambil memelihara sepenuhnya kedaulatan serta keupayaan untuk membuat keputusan berkaitan dasar kesihatan," kata Quirno.
Kerajaan Argentina mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada badan kesihatan global itu pada Februari tahun lalu.
Jurucakap Presiden Manuel Adorni berkata dalam satu sidang media ketika itu bahawa Presiden Javier Milei telah mengarahkan menteri luar Argentina untuk menarik penyertaan negara itu daripada agensi khusus PBB berkenaan.
Jurucakap itu berkata keputusan berkenaan "memberikan negara fleksibiliti yang lebih besar untuk melaksanakan dasar yang disesuaikan dengan konteks dan kepentingan yang diperlukan Argentina, selain meningkatkan ketersediaan sumber, serta mengukuhkan hala tuju ke arah negara berdaulat termasuk dalam hal ehwal kesihatan."
-- BERNAMA-XINHUA