AM

"Kasih Tak Terlihat" Angkat Realiti OKU Penglihatan, Serlah Komitmen Bank Muamalat Sempena Aidilfitri

18/03/2026 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Dalam kemeriahan Aidilfitri yang sinonim dengan kegembiraan dan pertemuan keluarga, sebuah video raya terbitan Bank Muamalat Malaysia Berhad tampil membawa sisi berbeza yang menyentuh emosi dan mengajak masyarakat merenung makna kasih yang sering terlepas pandang.

Bertajuk “Kasih Tak Terlihat”, video itu mengangkat kisah seorang wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang dilupakan anaknya sendiri, sekali gus menyampaikan mesej mendalam tentang kasih sayang ibu yang kekal utuh walaupun dalam keterbatasan.

Lebih daripada sekadar karya Aidilfitri, video itu menjadi cerminan realiti masyarakat, mengingatkan tentang tanggungjawab anak untuk terus menghargai dan berbakti kepada ibu bapa, khususnya mereka yang diuji dengan kekurangan fizikal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen bank berkenaan dalam menyemai nilai empati dan keprihatinan melalui pendekatan penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.

“Kami ingin mengajak masyarakat merenung kembali makna kasih sayang seorang ibu yang sering kali tidak ternilai dan tidak terlihat, namun sentiasa hadir dalam kehidupan kita.

“Video ini juga menjadi peringatan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi masa terbaik untuk kembali kepada nilai ihsan, memaafkan serta menghargai insan yang paling berjasa dalam hidup kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menariknya, keseluruhan penerbitan video itu digerakkan sepenuhnya oleh warga kerja Bank Muamalat sendiri meliputi pembangunan idea, penulisan skrip hingga ke proses produksi, sekali gus mencerminkan kreativiti dalaman dalam menyampaikan mesej kemanusiaan.

Penghasilannya turut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) sebagai usaha memperkukuh sinergi strategik dalam memperjuangkan kebajikan komuniti OKU penglihatan di negara ini  dan orang ramai boleh menontonnya menerusi saluran YouTube serta platform media sosial rasmi Bank Muamalat.

Seiring dengan penerbitan video itu, Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan baju dan duit raya kepada komuniti asnaf dalam kalangan ahli persatuan berkenaan bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen berterusan bank dalam memperluas impak sosial menerusi pelbagai program kewangan sosial, termasuk Jariah Fund yang menyokong golongan memerlukan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara inklusif dan mampan,” katanya.

Usaha itu juga selari dengan aspirasi Bank Negara Malaysia dalam memperkukuh prinsip Fair Treatment of Financial Consumers yang menekankan penyediaan perkhidmatan kewangan secara adil, telus dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan OKU.

Bank Muamalat memaklumkan akan terus memperkukuh kerjasama dengan MAB menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan, memperkasakan literasi kewangan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi yang inklusif.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535622