AM

Operasi Terminal Feri Labuan Lancar Menjelang Aidilfitri

18/03/2026 06:27 PM

LABUAN, 18 Mac (Bernama) -- Suasana sibuk di dua terminal feri di sini yang lazim berlaku menjelang Aidilfitri tidak dirasai tahun ini apabila operasi di situ lancar tanpa tanda kesesakan teruk. 

Tinjauan di terminal feri roll-on roll-off (ro-ro) mendapati keadaan kekal teratur, tanpa barisan panjang atau kesibukan saat akhir yang biasa dikaitkan dengan musim perayaan.

Keadaan serupa juga berlaku di Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang lancar seperti biasa dan tiada kesesakan penumpang di terminal. 

Senario itu lebih tenang daripada jangkaan awal akan berlaku lonjakan pergerakan penumpang, mengambil kira cuti umum lebih panjang untuk penjawat awam dan cuti sekolah yang telah bermula.

Pengarah Jabatan Laut Labuan Alimuddin Amiruddin berkata sebanyak 26 perjalanan feri tambahan telah diluluskan dari 17 hingga 30 Mac untuk laluan dua hala Labuan-Menumbok-Labuan bagi memudahkan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.

Beliau berkata perjalanan tambahan itu bertujuan memastikan kapasiti yang mencukupi dan kelancaran aliran penumpang walaupun permintaan kekal terkawal di dua terminal tersebut.

Pengendali feri Binabalu Sdn Bhd menerusi kapal MV Blue Ocean dan MV Galaxy menyediakan tiga perjalanan setiap hari menjelang Aidilfitri dan selepas hari raya.

Sementara itu, Labuan Mainland Link mengendalikan lima perjalanan harian menggunakan feri MV Goodwill Star, MV Putrajaya 1, MV Joystar dan MV Kimanis 1 untuk memenuhi permintaan penumpang.

Alimuddin berkata pada kelazimannya, tempoh menjelang Aidilfitri menyaksikan peningkatan mendadak perjalanan keluar dari pulau bebas cukai itu, menyebabkan terminal sesak dan masa menunggu yang lama.

“Bagaimanapun, trend tahun ini menunjukkan corak perjalanan lebih seimbang, dengan penumpang mungkin memilih berlepas lebih awal atau aturan perjalanan alternatif, yang menyumbang kepada aliran lancar di dua terminal tersebut,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa dan operator feri bagaimanapun terus memantau keadaan dengan rapi bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh perayaan ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535749