JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Maut Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

19/03/2026 03:46 PM

JOHOR BAHRU, 19 Mac (Bernama) -- Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer 77.3 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi kereta  jenis Nissan Sentra yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan, dan melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Proton Saga.

Beliau berkata mangsa yang maut ialah pemandu Nissan Sentra, iaitu lelaki berusia 26 tahun dan penumpang wanita berusia 25 tahun. 

"Mangsa dalam perjalanan dari Mersing ke Johor Bahru, manakala Proton Saga pula dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Kuantan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada   bahagian kepala serta badan, dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, wanita berusia 23 tahun yang memandu Proton Saga bersama tiga penumpang lelaki berusia antara 16 hingga 21 tahun hanya cedera ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536050