KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan kediamannya di Pangsapuri D’Rimba, Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini 15 Mac lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata lelaki berkenaan Cheah Yew Wei, 33, mempunyai fizikal sederhana dengan ketinggian 178 sentimeter dan berat sekitar 100 kilogram serta memakai kaca mata.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima laporan kehilangan lelaki itu pada 9.52 pagi, Rabu lepas.
“Beliau kali terakhir dilihat di lokasi berkenaan kira-kira 8 malam dengan memakai seluar panjang dan singlet warna hitam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat SM Roszaidi Abdul Talib di talian 019-3778383 / 03-61421222 atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.
-- BERNAMA