KOTA BHARU, 27 Mac (Bernama) -- Helah sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi dengan menggunakan sebuah rumah sebagai pusat transit berjaya dibongkar dalam satu operasi di Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas, semalam.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Aswadi Jaafar berkata serbuan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) pada 3.45 petang itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 27, 28 dan 44 tahun.
"Hasil risikan awal pihaknya telah mengesan pergerakan sebuah van jenis Toyota Hiace bernombor pendaftaran tempatan yang dipercayai digunakan sindiket bagi menghantar bekalan.
"Semasa serbuan, semua suspek didapati sedang memindahkan kotak minyak masak bersubsidi di hadapan rumah yang dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 12 kotak minyak masak bersubsidi seberat 204 kilogram di hadapan rumah, manakala tambahan 119 kilogram lagi dijumpai di dalam rumah berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 323 kilogram.
"Pihaknya turut menyita satu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan dokumentasi dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dan memaklumkan semua suspek telah dibawa ke pejabat KPDN untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA