GEORGE TOWN, 30 Mac (Bernama) -- Lapan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tiga anggota polis, Rabu lepas.
Noor Nizar Shah Zainol Abidin, 37; Muhammad Syafiq Mohd Nordin, 28; Azwandy Azmi, 38; Muhamad Aiqal Zulkifrey, 28; Muhammad Firdaus Abdul Malik, 34; Muhammad Razin Abdul Muthalib, 34; Muhammad Syazwan Mohd Omar, 30 dan Low Jia Hui, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal S.Uvaneand, 26, Konstabel Muhammad Danial Danish Azlan, 23, dan Lans Koperal Muhammad Amzaruddin Fakhri Khuiruddin, 30, semasa mereka melaksanakan tugasnya sebagai seorang penjawat awam yang sah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di Sungai Pinang di sini pada 9.50 malam, 25 Mac lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Marlissa Safina Saiful Adli mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, bagaimanapun peguam S.Meharaj yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan paling minima atas alasan kesemua anak guamnya pekerja biasa seperti tukang masak, kerani, mekanik dan penghantar makanan dengan pendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei ini untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, polis menahan reman lapan lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam kejadian itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di pangsapuri tersebut meminta bantuan pasukan lain dan sebaik tiba, mendapati empat anggota yang bertugas sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah perumahan itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam di situ.
Akibat kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan ketika berlaku pergelutan dengan orang awam.
-- BERNAMA