AM

Pulau Pinang Klasifikasi Semula Tanah First Grade Tanpa Kebenaran Merancang, Kurangkan Cukai

01/04/2026 05:14 PM

GEORGE TOWN, 1 April (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang hari ini bersetuju dengan mekanisme penambahbaikan penentuan kadar cukai tanah dalam usaha mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar pemilik tanah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penentuan kadar cukai bagi kegunaan Perindustrian dan Perniagaan di atas tanah First Grade, Condition A, B, C serta Kategori dan Syarat Nyata Tiada (NIL) yang tidak mempunyai Kebenaran Merancang diklasifikasi semula kepada kegunaan bangunan. 

Beliau berkata kadar cukai yang ditetapkan adalah berdasarkan kadar bangunan (lain-lain) iaitu 70 sen meter persegi bagi tanah bandar manakala 50 sen meter persegi bagi tanah desa, namun pemilik tanah yang tergolong dalam kategori tersebut tidak layak menerima rebat 50 peratus sedia ada.

"Pendekatan ini merupakan inisiatif terbaik kerajaan negeri dalam usaha menyantuni rakyat bagi mengurangkan jumlah cukai tanah perlu dibayar terutamanya pemilik yang terlibat. 

"Kerajaan negeri turut menasihati pemilik supaya mengambil inisiatif memajukan tanah masing-masing menerusi proses undang-undang demi membantu menjana aktiviti yang dapat memajukan pembangunan Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Chow memaklumkan sehingga 31 Mac lepas, 4,001 maklum balas atau rayuan diterima oleh semua pejabat daerah di seluruh negeri menerusi borang rasmi, dengan 2,885 rayuan daripadanya disebabkan oleh kenaikan kadar cukai tinggi melibatkan tanah First Grade, naik taraf tanah desa kepada tanah bandar, tanah kategori pertanian-durian, tanah bukit dan semakan semula kadar. 

Selain itu, beliau berkata 1,116 kes rayuan disebabkan oleh isu teknikal seperti bangunan di atas dua lot atau lebih, yang mencatatkan kes tertinggi berjumlah 574 laporan, pemilik tanah menghadapi masalah kewangan, projek terbengkalai, organisasi tidak berasaskan keuntungan, tanah tidak diusahakan dan lain-lain.

"Daripada jumlah keseluruhan kes yang diterima, 3,043 kes dalam proses tindakan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri.

"Sehingga 31 Mac lepas, seramai 163,262 pemegang akaun cukai tanah telah membuat bayaran cukai tanah masing-masing dan ia mewakili lebih 54 peratus daripada jumlah pembayar cukai aktif pada 2025," katanya.

Mengenai mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada Isnin lepas, Chow berkata ia berjalan dengan lancar dan semua pihak menerima baik penjelasan beliau berhubung pelaksanaan Semakan Cukai Tanah 2026 melalui satu pembentangan laporan yang lengkap. 

Chow berkata kerajaan negeri juga diminta menyampaikan maklumat berhubung usaha menyantuni rakyat dengan pelbagai pelaksanaan rebat khususnya kepada sekolah, pertubuhan agama dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Antaranya pemberian rebat 50 peratus; kadar cukai nominal RM50 per lot bagi semua sekolah kerajaan serta persendirian; menimbang rayuan pemilik bangunan di atas dua lot atau lebih untuk tidak dikenakan kadar cukai minimum, sebaliknya dikira berdasarkan keluasan sebenar serta kadar cukai perniagaan dan industri juga tidak tertakluk kepada kadar minimum

"Semua pemilik tanah yang menikmati kadar cukai nominal antara RM1 hingga RM10 juga terus menikmati kadar cukai nominal RM50 selepas semakan 2026 selain membenarkan pemilik cukai yang menghadapi masalah kewangan atau kadar cukai dikenakan tinggi untuk membayar cukai secara ansuran," katanya.

Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan klasifikasi tanah luar bandar kepada bandar bagi seluruh Pulau Pinang mengikut peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang meliputi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kediaman, komersial, industri, pertanian dan kategori khas lain.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539828