JENAYAH & MAHKAMAH

TKP JAS Didakwa Terima Wang RM21,000 Isu Pengurusan Sisa Berjadual

03/04/2026 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Dr Norhazni Mat Sari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas enam pertuduhan menerima wang RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lepas. 

Norhazni, 59, didakwa sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS menerima wang itu menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank milik anaknya, yang diketahuinya pengarah syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Bintang di sini antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan telah bersetuju jumlah jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

“Pendakwaan juga memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya. 

Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Bagaimanapun, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Norhazni memohon penangguhan penyerahan pasport kerana anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat berkaitan tugas di Geneva, Switzerland pada 16 hingga 26 Jun. 

Ahmad Akram mencadangkan pasport diserahkan dahulu dan tertuduh boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dokumen itu jika perlu ke luar negara.

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540490