SUKAN

320 Atlet Kelantan Selesai Jalani Kem Motivasi Hadapi SUKMA Selangor 2026

06/04/2026 11:14 AM

KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 320 atlet dan 30 jurulatih yang akan mewakili Kelantan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor, telah selesai mengikuti kem motivasi diri pada Sabtu lepas.  

Penolong Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Kelantan Muhammad Aiman Hakim Amir berkata kem motivasi yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 2 April, merupakan persiapan pihaknya kepada atlet bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Kem motivasi ini ialah inisiatif kami bagi membentuk kerjasama antara atlet, jurulatih dan pihak pengurusan, selain membentuk jati diri dan disiplin tinggi kepada mereka yang terlibat.

"Malah, pengisian kem ini juga turut melibatkan slot psikologi, motivasi dan antidoping untuk atlet," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Aiman Hakim berkata kesemua atlet yang menyertai kem berkenaan bukan sahaja perlu bersiap sedia dengan latihan fizikal dan taktikal, malah persiapan dari segi mental serta emosi turut diberi tumpuan, terutama ketika berdepan dengan cabaran daripada atlet negeri lain.

"Kem ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat juang tinggi bagi mencapai sasaran pingat yang ditetapkan pihak pengurusan sukan masing-masing," katanya dan menambah sebanyak 30 jenis sukan akan disertai kontinjen Kelantan kali ini.

Antara sukan itu ialah olahraga, renang, bola jaring, angkat berat, Muay Thai, badminton, futsal dan memanah.

Ditanya tentang sasaran pingat pada temasya kali ini, beliau berkata pihak pengurusan belum lagi mengumumkan secara rasmi atas beberapa faktor.

SUKMA 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala temasya Para SUKMA bermula pada  5 hingga 10 Sept. 

Sebanyak 474 acara daripada 37 sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA yang berlangsung di Petaling dan Klang melibatkan 10 sukan dan 316 acara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541429