Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Dalam arus fesyen moden yang dipacu fabrik industri dan jenama global, seni tenun tradisional terus bertahan sebagai warisan halus yang bukan sekadar indah dipandang, tetapi sarat dengan makna dan jati diri budaya.
Dalam seni tenun Melayu, keindahan tersebut terbina daripada ragi, iaitu susunan corak asas yang menjadi struktur utama dalam pembentukan motif pada kain.
Seiring dengan itu, pameran RAGI: Visual Rhythms of Malay Tenun di HARTA Space, Ampang, di sini, yang menampilkan koleksi peribadi Khairulanwar Rahmat, membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali semula corak beragi yang semakin jarang diberi perhatian.
pic-2
“Ragi membawa dua maksud utama, iaitu proses mewarnakan kain melalui susunan benang sebelum dicelup warna serta corak berpetak atau tapak catur yang menjadi asas kepada banyak tenunan tradisional serta mempunyai pelbagai jenis antaranya ragi berlapis, ragi bertindih dan ragi tunggal.
“Pameran ini diadakan untuk memperkenalkan semula corak beragi supaya industri tenunan kita mendapat sumber inspirasi pada masa akan datang. Kebanyakan yang kita kenal adalah songket, batik, limar dan telepuk, dan kali ini saya cuba mengetengahkan tekstil yang kurang mendapat perhatian iaitu corak beragi,” kata Khairulanwar.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas perasmian pameran itu yang disempurnakan oleh anakanda Sultan Pahang Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah baru-baru ini.
pic-3
Yang turut hadir tokoh fesyen terkemuka dan pengasas Islamic Fashion Festival Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah dan Pengarah HARTA Mirsham Meer.
Pameran yang berlangsung dari 4 hingga 30 April itu menampilkan kira-kira 40 helai tekstil berusia ratusan tahun merangkumi pelbagai jenis tenunan seperti limar, tenun Bugis dan karat keruping, kesemuanya berteraskan corak beragi sebagai motif utama.
Sehubungan itu, Khairulanwar yang juga penyelidik seni dan budaya Melayu, berharap generasi muda, khususnya pereka muda, dapat mendalami semula warisan tekstil tempatan agar seni tersebut terus hidup dan dihargai oleh generasi akan datang.
pic-4
“... kita semakin hilang identiti apabila lebih cenderung kepada jenama komersial. Rekaan ini merupakan khazanah negara. Generasi hari ini perlu belajar dan meneruskan supaya kita ada identiti sendiri,” katanya.
Khairulanwar yang memiliki lebih 800 helai tekstil pelbagai jenis tenunan sejak 2012 berkata minatnya mengumpul tekstil tradisional bermula daripada kesedaran bahawa banyak kain lama semakin dipinggirkan dan dianggap tidak lagi bernilai.
“Setiap tenunan ini dibuat dengan tangan, ada corak, cerita dan motif yang hendak disampaikan. Setiap warna itu ada ceritanya, seperti kuning dan putih yang menjadi larangan raja, manakala merah diambil daripada kesumba alam. Garisan tertentu pula menunjukkan golongan yang boleh memakainya,” katanya.
pic-5
Justeru, beliau berkata sebagai usaha memelihara koleksi tersebut, setiap kain digulung dan diletakkan dalam kertas bebas asid (acid-free paper) bagi memastikan tekstil tersebut kekal terpelihara serta tidak rosak akibat serangan serangga.
“Saya tidak akan melipatnya kerana bahagian lipatan boleh menyebabkan kerosakan pada fabrik, termasuk mereput pada kawasan tersebut sekali gus menjejaskan ketahanan kain,” katanya sambil menambah kain yang rosak perlu melalui proses konservasi yang boleh mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.
Menurutnya, usaha seperti itu penting bagi memastikan warisan tenunan Melayu tidak terus dilupakan, sebaliknya dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Bagi memastikan seni warisan itu terus terpelihara, Khairulanwar turut menghasilkan buku katalog bertajuk RAGI: Irama Visual Dalam Tenunan Melayu yang diterbitkan HABIB dan dijual pada harga RM70 senaskhah.
-- BERNAMA