JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Dadu Khas: 67 Ditahan Dalam Serbuan Di 13 Premis Judi Di Selangor, Sabah

03/04/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Polis menahan 67 individu dalam Ops Dadu Khas di 13 premis disyaki menjalankan perjudian secara tidak sah di Selangor dan Sabah, dari Rabu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata serbuan membabitkan pusat hiburan interaktif, pusat hiburan keluarga, premis menawarkan perjudian dalam talian menggunakan tablet dan premis yang menyalahgunakan lesen permainan e-sukan.

“Penahanan membabitkan 52 lelaki dan 15 wanita berusia antara 20 hingga 75 tahun dengan 24 daripadanya merupakan penjaga premis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata daripada 13 premis terlibat, lapan terletak di Seri Kembangan dan Klang Utara, Selangor manakala lima lagi di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah.

Beliau berkata 26 yang ditahan ialah warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar dengan mereka diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Klang Utara, Kota Kinabalu, Tawau serta Sandakan untuk tindakan lanjut.

Pada serbuan itu, Kumar berkata polis merampas pelbagai perkakasan dan peranti elektronik melibatkan sembilan televisyen, tablet (95), komputer riba (17), alat kawalan (61), mesin simulator (20), komputer (38) dan wang tunai berjumlah RM16,553.

“Modus operandi sindiket ialah menjalankan aktiviti perjudian di premis perniagaan dengan berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sukan,” katanya. 

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a), 4(1)(c) dan  6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan menyeluruh akan terus dilaksanakan terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram bagi menjamin kesejahteraan sosial rakyat melalui kolaborasi bersama-sama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan. 

“Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540730