IPOH, 4 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini meluangkan masa menyantuni petugas media di Pusat Media Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang sedang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya, Pengarah MCMC Negeri Perak Mohd Irwan Mohamad serta Pengarah Jabatan Penerangan Perak Azrul Hassan.
Selain beramah-mesra dengan kira-kira 40 pengamal media pelbagai agensi yang membuat liputan program itu sejak semalam, Abdul Halim turut mengambil kesempatan menyampaikan cenderahati kepada mereka.
Terdahulu, beliau yang tiba sekitar 11 pagi turut melawat reruai agensi yang terlibat, termasuk reruai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi meninjau perkhidmatan serta inisiatif yang ditawarkan kepada orang ramai.
Perak yang membuka tirai PMR 2026, menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung bagi program tiga hari bermula semalam itu, dengan menawarkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan serta pelbagai aktiviti menarik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakan majlis perasmian petang ini.
-- BERNAMA