PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 42 kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat yang tular di media sosial dan platform digital setakat 3 petang tadi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, 31 kandungan melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api, manakala 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pada masa yang sama, MCMC membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu daripada pelbagai platform media sosial, dengan 154 kandungan telah diturunkan oleh penyedia platform setakat ini, manakala selebihnya masih dalam siasatan pihak platform berkenaan.
"Saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada terhadap sebaran maklumat terutama dalam media sosial, khusus berkait krisis tenaga global.
“Dalam keadaan dunia berdepan cabaran semasa, terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pelbagai maklumat tidak sahih semata-mata untuk meraih perhatian dan pengaruh," katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media mingguan, di sini hari ini.
Fahmi turut menegaskan bahawa amalan ‘tabayyun’ atau menyelidik dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, amat penting khususnya dalam era digital yang pantas maklumat disebarkan.
Ditanya 22 individu disiasat MCMC mempunyai kaitan dengan parti politik atau badan bukan kerajaan, Fahmi berkata keanggotaan mana-mana parti politik bukan antara perkara menjadi fokus siasatan sebaliknya tumpuan adalah untuk membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan krisis tenaga global.
Beliau berkata setakat ini siasatan dijalankan oleh MCMC lebih tertumpu kepada bagaimana maklumat itu diperoleh, sumber asal maklumat serta tujuan disebarkan kepada umum.
"Pada waktu ini yang dalam siasatan lebih berkait kepada cara mereka mendapat maklumat itu, dari mana mereka mendapat maklumat itu dan kenapa disebarkan. Keanggotaan mana-mana parti politik tidak menjadi salah satu perkara yang setahu saya dalam siasatan," katanya.
-- BERNAMA