AM

13 Menara Baharu Selesai Masalah Telekomunikasi Di Dun Asahan

04/04/2026 05:03 PM

JASIN, 4 April (Bernama) -- Masalah liputan capaian telekomunikasi yang dihadapi penduduk di kawasan luar bandar seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kini diatasi menerusi pembinaan 13 menara telekomunikasi baharu dalam tempoh tiga tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata penyelesaian isu capaian jalur lebar itu dilihat sebagai komponen penting dalam merealisasikan visi Asahan sebagai model ‘Kampung Sejahtera’.

“Kemudahan telekomunikasi ini amat penting kerana kesejahteraan tidak dapat dicapai sekiranya rakyat gagal menggunakan teknologi secara berkesan.

“Kita menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk mengangkat Asahan sebagai ‘Kampung Sejahtera’ kerana selain didiami tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, kawasan ini turut menempatkan masyarakat Orang Asli,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Senggeh.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata sempena WRUR yang berlangsung sejak semalam hingga 12 April ini, sebanyak 115 program dirangka bersama jabatan serta agensi kerajaan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata program itu juga buat pertama kalinya melibatkan penyertaan lebih 500 masyarakat Orang Asli menerusi 10 program khas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540995