KOTA KINABALU, 5 April (Bernama) -- Pusat Lestari Kota Kinabalu (PLKK) memainkan peranan penting dalam menggalakkan amalan kitar semula serta membantu golongan memerlukan melalui pengumpulan dan pengagihan barangan terpakai.
Petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Danniel Yanjom, yang mengendalikan pusat itu bersama-sama empat petugas lain, berkata operasi penerimaan barangan terpakai seperti pakaian, kasut dan kelengkapan dapur bermula pada seawal 8 pagi hingga 2 petang setiap hari.
“Kami akan meneruskan kerja pengasingan dan penyusunan hingga 4 petang. Setiap hari, kami menerima pelbagai sumbangan daripada orang awam. Anggaran kasar menunjukkan jumlah barangan yang diterima boleh mencecah lebih satu tan sehari,” katanya ketika ditemui Bernama.
Danniel berkata PLKK itu yang juga dikenali sebagai Pusat Sementara PLKK mula beroperasi di Taman Fortuna sejak awal Januari tahun ini apabila PLKK sebelum ini di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu terbakar.
Beliau berkata semua barangan yang diterima akan melalui proses pengasingan bagi memastikan hanya barangan yang masih elok dan boleh digunakan disalurkan kepada golongan memerlukan di sekitar Penampang, Manggatal dan Inanam serta kawasan lain.
“Pakaian yang masih dalam keadaan baik akan diagihkan kepada mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir selain diberikan kepada komuniti setempat yang memerlukan,” katanya dan menambah PLKK itu pernah menerima sumbangan daripada 200 orang sehari.
Bagaimanapun, katanya PLKK menasihatkan kepada penyumbang agar hanya menghantar barangan yang masih berada dalam keadaan baik.
Danniel berkata PLKK itu juga menerima minyak masak terpakai pada setiap Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari untuk dikitar semula menjadi produk seperti biodiesel, lilin dan sabun, namun ketika ini, PLKK belum dapat menerima barangan daripada kategori e-waste.
Dalam pada itu, PLKK juga turut menganjurkan program free market atau pasar percuma dengan menyediakan pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, buku dan keperluan dapur kepada orang ramai tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Free market biasanya diadakan bersempena dengan acara tertentu dan mendapat sambutan menggalakkan. Orang ramai hanya perlu membawa beg sendiri sebagai langkah mengurangkan penggunaan plastik,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan sisa buangan, tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar serta kebajikan masyarakat setempat.
Sementara itu, penulis yang turut menghantar pakaian terpakai buat kali pertama ke PLKK itu baru-baru ini dapat melihat kawasan pengumpulan sementara pakaian terpakai dan kitar semula itu dalam keadaan yang bersih dan mudah diakses kerana terletak di kawasan premis bangunan.
Petugas di situ sentiasa bersedia membantu untuk mengangkat beberapa kotak pakaian terpakai dari kenderaan penulis untuk dimasukkan ke dalam stor yang ketika itu sudah hampir penuh.
Hampir sejam berada di pusat berkenaan, beberapa penyumbang datang membawa barangan yang dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum petugas mengeluarkan pakaian daripada beg berkenaan untuk diasingkan.
-- BERNAMA