JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Warga Asing, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM164,000

05/04/2026 09:12 PM

SIBU, 5 April (Bernama) -- Polis Sibu menahan seorang lelaki warga asing dan merampas pelbagai dadah  bernilai RM164,695 dalam satu operasi bersepadu di sekitar bandar itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Azari Miskon berkata lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun itu, ditahan kira-kira jam 11.30 malam semalam di Jalan Padawan dan merampas 272.02 gram (g) serbuk disyaki campuran ekstasi serta 2.78g ketamine.

“Susulan penahanan itu, suspek telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Lorong Kiew Nang dan sebanyak 1,089.79g ketamine, 4,509.65g serbuk disyaki ekstasi 278.51g, pil Erimin 5 (890 biji) dan 140 milimeter cecair disyaki ekstasi. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM164,695,” katanya.

Azari berkata suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Beliau berkata sebanyak 212 individu telah diperiksa di beberapa kawasan tumpuan termasuk pusat hiburan dan premis perniagaan dengan enam lelaki tempatan didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541320