SIBU, 5 April (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menyelamatkan dua pendaki yang terkandas di gunung Taman Negara Bukit Lambir awal pagi tadi.
Pusat gerakan operasi JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan itu mengambil masa kira-kira enam jam untuk menuju ke lokasi dan membawa turun dua mangsa dengan selamat.
“Dua pendaki yang diselamatkan dikenali sebagai Gordon Brian, 32, yang mengalami cedera di kaki dan Wan Mohamad Hidayat, 42, tidak mengalami kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Pusat gerakan itu memaklumkan terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengatakan terdapat tiga pendaki telah terkandas di taman negara berkenaan ketika melakukan aktiviti pendakian pada 6.30 petang semalam.
Menurut kenyataan itu, seorang lagi pendaki Mohd Shendy Sediyeya, 40, telah berjaya turun dengan selamat pada 7.13 malam semalam untuk mendapatkan bantuan.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh anggota dari balai bomba Miri dan Lopeng yang terletak lebih 36 kilometer dari lokasi dengan pendakian dimulakan pada 9 malam.
Kesemua mangsa dihantar oleh Unit EMRS ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya dan berikutan itu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.05 pagi.
-- BERNAMA