SHAH ALAM, 5 April (Bernama) -- Seorang warga emas ditemukan lemas dalam keadaan berkerusi roda di Sungai Kampung Kuantan, Kuala Selangor pagi tadi, selepas dilaporkan terjatuh tiga hari lepas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata lelaki warga tempatan berusia 63 tahun itu ditemukan pada 8.30 pagi oleh orang awam berhampiran jeti Batu Tujuh Setengah.
“Mangsa ditemukan kira-kira 5.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh. Laporan kejadian ini diterima pada 9.09 malam 3 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang serta Unit Anjing Pengesan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa pada 3 April, yang menyatakan mangsa telah hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai terbabit.
Beliau berkata pengadu lelaki warga tempatan berusia 65 tahun bersama seorang lagi rakan lain, telah pergi ke sebuah jeti di sekitar lokasi terbabit untuk memancing, namun pengadu bersama rakannya telah diminta oleh mangsa untuk pergi membeli minuman sebelum kejadian malang itu berlaku.
“Semasa pengadu sampai semula di jeti tersebut, didapati mangsa yang merupakan pesakit buah pinggang telah tiada di jeti dan dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Azaharudin berkata kes disiasat di bawah laporan mati mengejut dan siasatan awal setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat dimohon untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222,” katanya.
-- BERNAMA