ALOR SETAR, 6 April (Bernama) -- Sebanyak 21 warga asing daripada beberapa negara ditahan dalam Ops Kutip yang dijalankan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Sungai Petani semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan semasa pemeriksaan yang dijalankan pada 12.30 tengah hari itu, sebanyak 127 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 orang ditahan.
“Sebahagian daripada warga asing itu bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai operasi, bagaimanapun cubaan mereka gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung oleh anggota penguat kuasa.
“Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pas atau permit yang sah,” menurut kenyataan itu hari ini.
JIM Kedah memaklumkan pemilihan lokasi operasi itu adalah berikutan aduan yang diterima daripada masyarakat berhubung kehadiran warga asing yang menimbulkan ketidakselesaan terhadap penduduk setempat, terutamanya pada hujung minggu.
-- BERNAMA