KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Ketidaktentuan di Asia Barat telah mengukuhkan keperluan untuk Malaysia mengekalkan trafik internet tempatan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap daya tahan sambungan antarabangsa dan risiko gangguan luaran terhadap infrastruktur digital yang kritikal, kata Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX), Chiew Kok Hin.
Berlatarbelakangkan hal ini, rangka padan domestik memainkan peranan penting dalam memastikan trafik internet tempatan kekal dalam Malaysia, mengurangkan pergantungan pada laluan antarabangsa dan mengukuhkan daya tahan rangkaian secara keseluruhan.
Rangka padan domestik merujuk kepada amalan Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP), pusat data atau pengendali rangkaian dalam negara yang sama yang menghubungkan rangkaian mereka secara langsung dan bukannya menghalakan trafik melalui pautan antarabangsa.
Ini memastikan trafik antara pengguna dan perkhidmatan Malaysia ditukar di dalam negara, meningkatkan kecekapan kos termasuk keselamatan negara, ia relevan semasa ketidaktentuan global dalam tenaga serta geopolitik, katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Perkembangan terkini termasuk potensi risiko kepada kabel dasar laut di rantau Laut Merah, menyerlahkan kelemahan laluan penyambungan global dan keperluan bagi negara ini untuk memperkukuhkan infrastruktur internet domestik, kata Chiew selepas mesyuarat agung tahunan ke-18 syarikat itu baru-baru ini.
MyIX telah ditubuhkan pada 2006 sebagai inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berfungsi sebagai pertukaran internet negara, membolehkan rangkaian untuk saling berhubung secara tempatan selain bertukar-tukar trafik dengan lebih cekap.
“Jika insiden kabel serantau berlaku, pertukaran trafik yang lebih banyak secara tempatan boleh membantu mengehadkan kesan gangguan perkhidmatan dalam negara.
"Rangka padan membolehkan trafik tempatan kekal dalam sempadan negara, yang mampu meningkatkan kecekapan dan meminimumkan pergantungan yang tidak perlu pada pautan antarabangsa. Memandangkan perkhidmatan digital terus berkembang merentasi perniagaan, kerajaan serta kehidupan seharian, sambungan domestik yang kukuh menjadi asas yang semakin penting untuk ekonomi digital Malaysia," jelas Chiew.
Dengan memudahkan rangka padan domestik, pertukaran itu membantu meningkatkan prestasi rangkaian, mengurangkan kependaman dan kebergantungan pada lebar jalur antarabangsa, seterusnya, mengukuhkan daya tahan internet keseluruhan Malaysia.
Sementara itu, trafik di MyIX meningkat 16 peratus kepada 2,527 gigabit sesaat (Gbps) setakat Februari 2026 berbanding 2,184 Gbps yang direkodkan pada 2025, mencerminkan lonjakan aktiviti digital di seluruh negara selain semakin pentingnya infrastruktur internet yang selamat, berdaya tahan dan sedia masa depan dalam menyokong ekonomi digital
“Peningkatan trafik mencerminkan bagaimana perhubungan domestik yang mantap menjadi pusat kepada perniagaan, pengguna dan perkhidmatan digital di seluruh negara.
“Ketika Malaysia memajukan aspirasi Negara Kepintaran Buatan (AI) 2030, ketersambungan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi akan menjadi semakin penting untuk inovasi, pelaburan serta penyampaian perkhidmatan digital,” kata Chiew.
Peneraju kandungan dan platform utama turut mengembangkan kehadiran mereka di MyIX sepanjang tahun lalu. Apabila trafik internet berkembang, mereka terus mengembangkan kapasiti mereka di MyIX, mencerminkan permintaan yang lebih kukuh dan nilai strategik ketersambungan pertukaran tempatan.
-- BERNAMA