EKONOMI

Reneuco Berdepan Penggantungan, Lanjutan Masa Kemuka Pelan Regularisasi Ditolak Bursa

06/04/2026 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Reneuco Bhd berdepan risiko penggantungan dan seterusnya penyahsenaraian selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak permohonan lanjutan masa bagi syarikat itu mengemukakan pelan regularisasinya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Reneuco berkata sekuriti syarikat akan digantung mulai 14 April, 2026 dengan penyahsenaraian dijadualkan pada 16 April, 2026 kecuali rayuan dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 13 April.

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,” katanya.

Reneuco berkata sekiranya rayuan dikemukakan dalam tempoh rayuan, penyahsenaraian sekuriti syarikat akan ditangguhkan sehingga keputusan dibuat.

“Bagaimanapun, Bursa Securities akan meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat pada 14 April, 2026 walaupun keputusan mengenai rayuan syarikat masih dalam pertimbangan,” katanya.

Reneuco menambah pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities terhadap keputusan untuk menggantung dan seterusnya menyahsenaraikan sekuriti syarikat.

Syarikat pembinaan tenaga dan utiliti itu diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada Februari 2024 selepas juruauditnya memberitahu mereka tidak memperoleh bukti yang cukup untuk membentuk asas bagi pendapat audit ke atas penyata kewangan kumpulan terutamanya berkaitan ketepatan akaun belum terima, akaun belum bayar, perolehan dan kos jualan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541794