JENAYAH & MAHKAMAH

JAS Lancar Minggu Operasi, Perkukuh Penguatkuasaan Alam Sekitar Seluruh Negara

06/04/2026 11:27 PM

GEORGE TOWN, 6 Apr (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini melancarkan Minggu Operasi (Ops) Gerak, Ops Refrigeran dan Ops Gempur Peringkat Kebangsaan bersempena sambutan Hari Penguat Kuasa JAS, sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di seluruh negara.

JAS dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan operasi itu memberi fokus kepada tiga komponen utama iaitu pemantauan pelepasan kenderaan bermotor menerusi Ops Gerak, pengurusan bahan pendingin (Ops Refrigeran), serta pemeriksaan menyeluruh premis industri (Ops Gempur) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pelaksanaan Minggu Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan negara berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.

“Operasi ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut kenyataan itu hari ini.

Menerusi Ops Gerak, JAS memaklumkan fokus diberikan terhadap pemeriksaan pelepasan asap daripada kenderaan petrol, diesel dan motosikal termasuk penguatkuasaan bunyi bising, dengan pemeriksaan dilaksanakan secara Ops Gerak/Statik serta Ops Catat/Kamera Video di lokasi strategik melibatkan 74 pegawai Unit Kenderaan Bermotor di seluruh negara.

Menurut JAS, Ops Refrigeran pula menumpukan kepada pematuhan pengurusan bahan pendingin yang berpotensi memberi kesan kepada lapisan ozon dan perubahan iklim sekiranya tidak dikendalikan dengan betul, dan pemeriksaan dibuat ke atas premis yang menggunakan, menyimpan atau mengendalikan bahan penyejuk bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan serta amalan pengendalian selamat.

Ops Gempur pula dilaksanakan secara agresif terhadap premis industri berisiko tinggi yang berpotensi menyebabkan pencemaran, melibatkan pelepasan udara, efluen industri serta pengurusan buangan terjadual, bertujuan memastikan pematuhan industri berada pada tahap optimum.

Sementara itu, JAS memaklumkan sepanjang tahun lepas 378,736 kenderaan telah diperiksa dengan 1,427 kompaun dan 101 Perintah Larangan dikeluarkan atas kesalahan pelepasan bahan pencemar melebihi had ditetapkan. 

“Di Pulau Pinang sahaja, 25,458 pemeriksaan telah dijalankan dengan 241 kompaun dikeluarkan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541799