KUCHING, 6 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dengan kerjasama polis berjaya melaksanakan operasi bersepadu, yang membawa kepada rampasan sebuah kapal disyaki terlibat aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di Sibu pada 4 April lepas.
KPDN Sarawak memaklumkan, hasil risikan dan pemantauan pihaknya telah menahan kapal itu dan menemukan muatan diesel dianggarkan sebanyak 132,000 liter yang disimpan dalam sembilan tangki berlainan.
“Nilai diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM283,800. Pemeriksaan awal mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan bahan api itu,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
KPDN Sarawak memaklumkan, pihaknya akan memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain seperti pihak polis dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya diesel yang memberikan kesan kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyelewengan subsidi negara. KPDN Sarawak juga ingin menegaskan kepada pengguna agar mengelakkan pembelian panik kerana bekalan mencukupi dan terkawal,” katanya.
-- BERNAMA