EKONOMI

Malaysia Mampu Tangani Ketidaktentuan Global Susulan Asas Ekonomi Kukuh

07/04/2026 03:20 PM

BANGI, 7 April (Bernama) -- Asas ekonomi Malaysia yang kukuh membolehkan negara mendepani dan mengharungi ketidaktentuan global termasuk konflik yang berpanjangan di Asia Barat, kata Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Firdaos Rosli.

Beliau berkata pada masa ini ekonomi negara tidak menunjukkan tanda-tanda kemelesetan, meskipun konflik geopolitik yang berlarutan memberi tekanan kepada ekonomi global.

“Setakat ini kita boleh rumuskan tiada kemelesetan yang bakal tiba dan kita tidak melihat Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun ini," kata beliau di forum “Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia?” anjuran MINDA-UKM di sini hari ini.

Firdaos berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia sememangnya terdedah kepada perkembangan ekonomi global, dengan tahap keterbukaan perdagangan yang tinggi mencecah lebih 130 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan prestasi ekonomi negara masih disokong oleh kitaran pertumbuhan yang kekal positif sejak krisis kewangan global pada 2008, walaupun berdepan turun naik dalam kitaran perniagaan.

“Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kitaran pertumbuhan kita secara keseluruhannya adalah baik, walaupun terdapat tempoh kitaran pertumbuhan yang perlahan, ia tidak bermaksud ekonomi berada dalam keadaan kemelesetan,” katanya.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang antara empat peratus hingga lima peratus pada tahun ini, didorong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan dan momentum pelaburan yang berterusan.

Julat unjuran ini sedikit lebih besar dan lebih optimistik berbanding unjuran 4.0 peratus hingga 4.5 peratus oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2026 yang diumum pada Oktober tahun lalu.

KDNK Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, melebihi unjuran rasmi BNM iaitu antara 4 peratus hingga 4.8 peratus. Ia merupakan pertumbuhan terkuat sejak 2022 apabila ekonomi berkembang sebanyak sembilan peratus.

Sementara itu, Firdaos berkata selepas pandemik COVID-19, kitaran perniagaan Malaysia menunjukkan tempoh penurunan yang lebih kerap berbanding peningkatan, sekali gus mencerminkan pemulihan yang lebih mencabar berbanding sebelum krisis.

“Ini bermaksud untuk kembali ke tahap prakrisis adalah lebih mencabar, walaupun kadar pertumbuhan tahunan masih mencatatkan angka yang baik,” katanya.

Mengulas perkembangan global, beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah memberi amaran mengenai risiko pertumbuhan lebih perlahan dan tekanan harga yang meningkat susulan kenaikan harga tenaga.

Mengulas mengenai harga minyak, beliau berkata setiap peningkatan 10 peratus dalam harga minyak boleh mengurangkan output global antara 0.1 hingga 0.2 mata peratusan, manakala gangguan bekalan tenaga ketika ini disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah.

“Ketika ini kita melihat kesan berantai daripada kejutan fizikal kepada kejutan makroekonomi, termasuk inflasi yang menjejaskan harga makanan, pengangkutan dan kos sara hidup secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia mempunyai tahap daya tahan tertentu, termasuk kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga seperti gas dan elektrik, namun pada masa sama negara masih merupakan pengimport bersih minyak.

Firdaos berkata Malaysia juga kini berdepan tekanan dari segi sekuriti makanan memandangkan lebih 50 peratus makanan diimport, yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga sekiranya rantaian bekalan global terjejas.

Beliau turut memberi amaran mengenai tiga elemen utama yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dalam tempoh terdekat, iaitu kejutan eksport, tekanan inflasi dan ketidaktentuan pasaran kewangan.

“Namun, semua ini bergantung kepada tempoh konflik. Sekiranya ia berlarutan melebihi enam bulan, kesannya akan jauh berbeza berbanding senario jangka pendek,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541969