DUNIA

40 Syarikat Turkiye Bakal Sertai DSA 2026

08/04/2026 05:10 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Turkiye bakal tampil gah pada Pameran Pertahanan (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026, dengan penyertaan 40 syarikat, kata Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Beliau berkata penyertaan besar syarikat Turkiye itu menunjukkan status DSA sebagai pameran industri pertahanan utama di rantau ini.

Turkiye turut berpandangan penyertaannya pada acara dwitahunan itu sebagai sangat berharga dalam mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama dengan Malaysia, katanya.

“Kami (Turkiye) mengutamakan pameran ini kerana DSA dan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ialah pameran yang sangat penting di rantau ini dari segi industri pertahanan.

“Ia (DSA) akan menjadi pameran yang baik bagi industri pertahanan Turki untuk rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya kepada Bernama pada sela acara Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, yang diadakan di sini, minggu ini.

Yuksel berkata Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye akan mengetuai delegasi negara ke DSA 2026. 

Pameran DSA dan NatSec Asia 2026 dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 20 hingga 23 April.

Bernama sebelum ini melaporkan 30 negara telah mengesahkan penyertaan mereka pada edisi ke-19 DSA itu, yang akan menampilkan teknologi, sistem, perkakasan dan penyelesaian peperangan elektronik termaju dunia.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542505