AM

Fahmi Kesal Kenyataan Abdul Hadi Mengenai Harga Minyak

08/04/2026 08:24 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu kenaikan harga minyak yang disifatkan sebagai tidak tepat.

Beliau berkata Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya menyarankan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri, pada 2 April lepas.

Fahmi berkata taklimat terperinci telah diberikan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Tan Sri Hassan Marican dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

"Jadi ruang dan peluang untuk Ahli Parlimen Marang bertanya soalan ini (harga minyak) sebenarnya telah diberikan sepenuhnya oleh Perdana Menteri melalui wakil Menteri Besar (Terengganu) yang juga seorang Ahli Parlimen. 

"Jadi saya kesal, mungkin sepatutnya Yang Berhormat Marang meminta Menteri Besar Terengganu membawa soalan ini dalam mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bersama Perdana Menteri. Malangnya itu tidak berlaku, saya saksi hidup," katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan harga diesel di Thailand ketika ini lebih tinggi berbanding di Malaysia malah tiada negara di dunia termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak berdepan kenaikan harga bahan api berkenaan.

"Saya tak pasti sama ada beliau (Abdul Hadi) diberikan maklumat yang tepat. Harga diesel di Thailand sekarang jauh lebih tinggi daripada harga diesel dalam negara kita sebagai contoh tetapi tidak ada negara, UAE sekalipun terpaksa menaikkan harga minyak dalam negara mereka. Tidak ada negara di dunia yang kerajaannya tidak ataupun pasaran tidak menaikkan harga," katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa rakyat sekali lagi “ditipu” kerajaan susulan kenaikan harga minyak di Semenanjung, sambil mempersoalkan mengapa langkah sama tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Menerusi kenyataan Minda Presiden Pas hari ini, beliau menegaskan tiada alasan kukuh untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542620