Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Industri takaful mencapai 60 peratus daripada sasaran bagi kerangka Hijrah27 dan berada di landasan untuk penyelesaian sepenuhnya menjelang 2027, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).
Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Radzuan Mohamed berkata industri kini menyasar untuk mencapai 80 peratus daripada matlamat kerangka itu tahun ini sebagai sebahagian usaha transformasi yang berterusan.
“Tahun lepas, kami menetapkan sasaran 60 peratus dan telah pun mencapainya. Tahun ini, kami menyasarkan 80 peratus, dan kami mahu 100 peratus menjelang 2027,” katanya kepada Bernama di luar acara Karnival Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan anjuran MTA dengan kerjasama Insurance Collective Marketplace (TIC) di sini, hari ini.
Hijrah27, dilancarkan pada November 2024, merupakan kerangka industri takaful yang menetapkan inisiatif utama untuk memperluas capaian pasaran, memperkukuh penggunaan digital dan meningkatkan keupayaan industri.
Berlandaskan kerangka itu juga, MTA menyasar untuk meningkatkan profesionalisme dalam kalangan wakil takaful serta menggalakkan inisiatif yang seiring dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Mohd Radzuan berkata sektor takaful menunjukkan kesediaan yang tinggi bagi penggunaan teknologi digital, khususnya semasa pandemik COVID-19.
“Kami juga mencapai antaranya tahap pertumbuhan tertinggi, terutama pada 2020 dan 2021. Sebahagian besar pertumbuhan ini didorong oleh keupayaan kami untuk merekodkan prestasi baik semasa tempoh COVID-19, apabila penggunaan teknologi dipercepat,” katanya.
Beliau berkata Indeks Kepuasan Pelanggan bagi pelanggan takaful menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh antara 2018 hingga 2022.
AI dijangka terus meningkatkan kecekapan dalam industri, terutama dalam membuat keputusan, operasi dan penglibatan pelanggan, katanya.
“Kami mengharapkan industri takaful bergerak maju ke tahap seterusnya, dengan AI digunakan merentas setiap rantaian nilai dan proses.
“Seterusnya akan mempercepat kecekapan, khususnya dalam cara data digunakan dan diubah menjadi maklumat yang bermanfaat untuk menambah baik industri, sama ada dari sudut operasi, dalam membuat keputusan atau maklumat,” katanya.
Mengenai cabaran, Mohd Radzuan berkata industri takaful menghadapi halangan kecil berbanding syarikat insurans yang lebih lama bertapak.
Hal itu kerana penanggung insurans beroperasi menggunakan sistem lama yang memerlukan penambahbaikan besar untuk dinaik taraf manakala struktur yang agak baharu mempunyai kelebihan tertentu, katanya.
“Bagaimanapun, saya percaya cabaran terbesar ada dalam industri ini sendiri, khususnya sama ada kita melihat keperluan untuk terus maju atau sebaliknya. Kita tidak boleh terus menjadi pengikut; kita mesti melangkah ke hadapan dan menerajui dalam bidang tertentu,” katanya.
-- BERNAMA