JAKARTA, 9 April (Bernama) -- Indonesia sedang memperhebat usaha diplomatik untuk mendapatkan sokongan bagi pencalonan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2029–2030.
Jurucakap Kementerian Luar Vahd Nabyl A. Mulachela berkata Timbalan Menteri Luar Arrmanatha Nasir telah mengadakan sesi libat urus dengan rakan sejawat daripada Pertubuhan Negara-Negara Afrika, Caribbean dan Pasifik (OACPS).
Beliau berkata libat urus yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak OACPS Malabo 2026 dari 27 hingga 29 Mac itu merangkumi hubungan dua hala serta bidaan Indonesia bagi kerusi UNSC.
“Perbincangan tertumpu pada hubungan dua hala dan usaha mendapatkan sokongan bagi pencalonan Indonesia untuk Majlis Keselamatan PBB bagi tempoh 2029–2030,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA.
Vahd Nabyl berkata sepanjang sidang kemuncak itu, Arrmanatha bertemu dengan presiden Sudan dan Gabon, selain mengadakan pertemuan berasingan dengan menteri luar Botswana, Seychelles, Sao Tome dan Principe, serta Equatorial Guinea.
Beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh kerjasama lebih luas dan keutamaan bersama.
“Antara mesej utama ialah menggalakkan kerjasama dan solidariti yang lebih kukuh dalam kalangan negara Afrika, Pasifik dan Caribbean ketika ketidaktentuan geopolitik semasa,” katanya.
Beliau berkata Arrmanatha turut menggariskan potensi kerjasama dalam kedaulatan digital, daya tahan teknologi, ekonomi biru dan daya tahan iklim.
Indonesia secara rasmi mengumumkan pencalonannya pada 14 Jan, dengan Menteri Luar Sugiono menyatakan bahawa usaha mendekati negara-negara rakan akan diteruskan.
Indonesia pernah berkhidmat selama empat penggal sebagai anggota tidak tetap UNSC, iaitu pada 1973–1974, 1995–1996, 2007–2008 dan 2019–2021. Negara itu juga pernah memegang jawatan presiden bergilir majlis berkenaan pada Ogos 2020.
-- BERNAMA