JOHOR BAHRU, 5 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan menandatangani sebarang watikah pencalonan pilihan raya sekiranya tidak yakin sesebuah cabang parti itu berada dalam keadaan kemas dan mantap.
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata perkara itu penting kerana sebagai sebuah parti perjuangan yang telah melalui pelbagai cabaran, kekuatan dalaman menjadi asas utama dalam menentukan kejayaan.
“Ini soal parti perjuangan. Kita telah melalui hiruk-pikuk perjuangan, tetapi akhirnya kekuatan dalaman itu yang menentukan,” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata rekod di Johor membuktikan bahawa parti, apabila berjaya memenangi banyak kerusi Parlimen, menunjukkan bahawa ukuran sebenar kekuatan ialah sokongan rakyat.
Perdana Menteri berkata pemilihan calon perlu dibuat dengan teliti serta melalui rundingan bersama rakan dalam gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH), namun pendirian parti tidak boleh dikompromi walaupun berdepan dengan kelemahan prestasi di sesetengah negeri.
Anwar berkata cabang yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak wajar membuat tuntutan kerusi, sebaliknya perlu memperkukuh jentera pada peringkat akar umbi.
“Kita tahu dalam pilihan raya, bicara boleh hebat, teori banyak, strategi canggih, tetapi jika kekuatan di bawah hambar, kita akan gagal,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan bahawa jawatan seperti ketua cabang, ketua wanita atau ketua pemuda bukanlah jaminan untuk menjadi calon.
“Tiadalah automatik. Yang menjadi calon ialah mereka yang bekerja dengan dedikasi dan mampu memenangkan parti,” kata beliau.
Mengimbas cabaran getir yang pernah dilalui parti suatu ketika dahulu, termasuk insiden ceramah diganggu dan diserang, Anwar berkata kejadian itu menjadi peringatan agar anggota parti tidak leka dengan keselesaan ketika ini.
“Kita pernah dibaling batu, disekat dan diusir, tetapi sekarang kita tidak lagi berdepan dengan keadaan itu, namun semangat itu jangan sampai luntur kerana rasa selesa,” kata beliau.
Anwar berkata parti perlu terus menunjukkan contoh yang baik serta kekal sebagai parti reformasi yang berintegriti bagi mempertahankan kedudukan dan kepercayaan rakyat.
Sebelum ini, Dr Zaliha berkata parti itu mengenal pasti sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
-- BERNAMA