DUNIA

Ketua Liga Arab Kecam Serangan Israel Ke Atas Lubnan

09/04/2026 01:33 PM

KAHERAH, 9 April (Bernama-SPA) -- Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Lubnan yang mengakibatkan ratusan orang awam terkorban dan cedera, selain menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bahawa beliau menuduh Israel cuba menggagalkan perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Aboul Gheit berkata ketika masyarakat antarabangsa berusaha meredakan ketegangan dan rantau itu mencari jalan ke arah penyelesaian mampan, Israel sebaliknya terus meneruskan dasar yang menjejaskan usaha memulihkan kestabilan menerusi peningkatan ketegangan berterusan di Lubnan.

Setiausaha agung itu mengulangi gesaan Liga Arab - berdasarkan deklarasi majlis yang dikeluarkan pada 29 Mac - supaya pihak antarabangsa utama memberi tekanan kepada Israel agar segera menghentikan serangan ke atas Lubnan dan mematuhi resolusi antarabangsa berkaitan.

Beliau turut menegaskan semula solidariti penuh Liga Arab terhadap Lubnan dan rakyatnya.

-- BERNAMA-SPA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542830