Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kekuatan sesebuah negara dalam mendepani krisis dan pergolakan global bukan sahaja bergantung kepada dasar strategik serta polisi ekonomi yang mapan, malah perpaduan rakyat yang teguh turut menjadi benteng utama negara, demikian menurut penganalisis.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata negara yang bersatu lebih sukar digugat oleh tekanan geopolitik, selain lebih tenang menghadapi inflasi, cekap mengurus krisis serta diyakini pelabur dan masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata dalam konteks Malaysia, perpaduan rakyat adalah elemen teras keselamatan negara dan keupayaan mengurus impak krisis pula bergantung kepada keberkesanan mengendalikan kepercayaan rakyat, bantuan sosial, disiplin awam serta komunikasi dasar, selain aspek ekonomi.
“(Ketika krisis dunia) Apabila harga naik, rantaian bekalan terganggu, pekerjaan tertekan dan sentimen pasaran melemah, negara yang masyarakatnya saling percaya, tidak mudah terhasut, dan masih yakin kepada institusi akan lebih mampu menyerap kejutan. Apabila rakyat tenang, ekonomi lebih mudah distabilkan.
“Apabila rakyat panik, marah tanpa arah, atau saling menyalahkan, kos krisis menjadi jauh lebih besar. Justeru perpaduan rakyat bukan slogan moral semata-mata, sebaliknya adalah modal strategik negara dan ia memang faktor utama,” katanya kepada Bernama.
Awang Azman yang juga Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia dan profesor sosiopolitik di Universiti Malaya berkata literasi geopolitik dalam kalangan rakyat amat penting bagi memastikan masyarakat memahami implikasi krisis global terhadap negara.
Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan bahawa konflik luar bukan sekadar berita antarabangsa, sebaliknya mempunyai kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat di Malaysia.
“Bank Negara Malaysia sendiri mengakui bahawa persepsi rakyat terhadap inflasi sering lebih tinggi daripada angka rasmi kerana rakyat menilai ekonomi melalui perbelanjaan harian mereka, maknanya jika jurang antara data rasmi dengan pengalaman hidup rakyat tidak selari, keresahan akan lebih mudah dieksploitasi,” katanya.
Daripada aspek sosiopolitik, beliau berkata konflik luar boleh mencetuskan polarisasi emosi jika dimanipulasi melalui naratif agama, kaum, anti-Barat, anti-kerajaan atau teori konspirasi.
Awang Azman berkata dalam masyarakat majmuk, bahaya sebenar bukan sekadar inflasi ekonomi tetapi juga ‘inflasi emosi’ iaitu apabila isu antarabangsa dipindahkan menjadi permusuhan domestik.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu membezakan antara solidariti kemanusiaan dengan kebencian politik yang boleh merosakkan keharmonian nasional.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr P.Sivamurugan berkata kestabilan sosial menjadi elemen penting dalam menghadapi krisis ekonomi global kerana keyakinan masyarakat dan pelabur menjadi penentu kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan.
Mengambil pengajaran daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan krisis global 2008, beliau berkata negara yang stabil secara sosial menunjukkan pemulihan lebih pantas, manakala pandemik COVID-19 membuktikan kepercayaan tinggi terhadap kerajaan dapat mengawal panik serta memastikan kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP).
“Geopolitik mungkin berlaku di luar sempadan, tetapi kesannya sampai ke meja makan rakyat. Dalam krisis, ekonomi bukan sekadar angka tetapi soal kepercayaan yang lahir daripada perpaduan. Kestabilan sosial bertindak sebagai ‘penyerap hentak’ kepada ekonomi,” katanya.
Sivamurugan berkata pengurusan persepsi rakyat melalui komunikasi strategik dan penyampaian maklumat yang konsisten adalah kunci utama mengelak panik, di samping menyifatkan pendekatan komunikasi terus seperti sidang media mampu membekalkan maklumat tepat seterusnya meningkatkan keyakinan awam
“Kerajaan juga perlu memastikan respons segera terhadap berita palsu, selain melaksanakan libat urus dengan rakyat dan bukan sekadar pengumuman rasmi semata-mata. Kekosongan maklumat akan diisi oleh ketakutan, dan ketakutan sering lebih berbahaya daripada krisis itu sendiri,” katanya.
Sebagai langkah menyalurkan maklumat terkini mengenai krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat, kerajaan melaksanakan taklimat khas secara berkala yang disiarkan secara langsung menerusi platform televisyen dan media sosial melibatkan penerangan daripada menteri serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA