DUNIA

Pelanggaran Gencatan Senjata Gugat Proses Keamanan Asia Barat - Pakistan

09/04/2026 01:11 PM

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 9 April (Bernama) -- Pelanggaran gencatan senjata menggugat proses damai di Asia Barat, kata Pakistan ketika negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.

Pakistan menjadi perantara bagi gencatan senjata sementara di seluruh rantau itu pada Selasa dalam usaha menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran, namun rejim Zionis pada Rabu melancarkan pengeboman di seluruh Lubnan, termasuk di ibu negara Beirut, mengorbankan lebih 250 orang dan mencederakan 1,165 yang lain.

“Pelanggaran gencatan senjata telah dilaporkan di beberapa lokasi di zon konflik, yang menjejaskan semangat proses keamanan. 

"Saya dengan penuh keikhlasan menggesa semua pihak supaya menahan diri dan menghormati gencatan senjata selama dua minggu, seperti yang dipersetujui, agar diplomasi dapat memainkan peranan utama ke arah penyelesaian aman konflik ini,” tulis Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di X.

Naib Presiden AS JD Vance akan mengetuai delegasi yang turut disertai utusan khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner ke Islamabad pada Sabtu untuk membincangkan perjanjian damai dengan Iran, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt.

Speaker Parlimen Iran Mohammad-Bagher Ghalibaf dalam satu kenyataan pada Rabu, membangkitkan soal kepercayaan dalam rundingan dengan AS susulan pelanggaran gencatan senjata itu.

“Ketidakpercayaan mendalam yang kami pegang terhadap Amerika Syarikat berpunca daripada pelanggaran berulang terhadap segala bentuk komitmen, satu corak yang malangnya sekali lagi berulang,” kata Ghalibaf.

“Seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Presiden Amerika Syarikat, Cadangan 10 Perkara Republik Islam Iran ialah ‘asas yang boleh dilaksanakan untuk dirundingkan’ dan merupakan kerangka utama bagi rundingan ini. 

"Bagaimanapun, tiga klausa dalam cadangan itu telah pun dilanggar,” katanya.

Ghalibaf menyebut serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sebagai antara klausa yang dicabuli.

Pengumuman Shehbaz pada malam Selasa adalah bagi “gencatan senjata serta-merta di semua kawasan, termasuk Lubnan.”

Speaker Iran itu berkata satu lagi pelanggaran gencatan senjata ialah pencerobohan dron di ruang udara Iran, selain penafian terhadap hak Iran untuk menjalankan pengayaan uranium.

“Oleh itu, ‘asas yang boleh dilaksanakan untuk dirundingkan’ itu telah dilanggar secara terbuka dan jelas - bahkan sebelum rundingan bermula,” kata Ghalibaf.

Terdapat kebimbangan bahawa rejim Benjamin Netanyahu akan cuba mensabotaj perjanjian gencatan senjata itu melalui pencerobohan ketenteraan secara langsung serta menggunakan lobi Yahudi untuk memanipulasi pegawai AS.

Iran mahu AS mengekang Israel sekiranya ia benar-benar mahu mencapai keamanan.

“Syarat gencatan senjata Iran-AS adalah jelas dan tegas: AS mesti membuat pilihan -- gencatan senjata atau perang berterusan melalui Israel. Ia tidak boleh memilih kedua-duanya,” kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam hantaran di X.

“Dunia menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di Lubnan. Kini semuanya bergantung kepada AS, dan dunia sedang memerhati sama ada ia akan bertindak selaras dengan komitmennya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542817