DUNIA

Indonesia Bakal Pilih Spektrum 700 MHz, 2.6 GHz Pada 2026 Untuk Pertingkat Ketersambungan

09/04/2026 06:28 PM

JAKARTA, 9 April (Bernama) -- Indonesia mengumumkan rancangan untuk melaksanakan pemilihan jalur frekuensi radio 700 MHz dan 2.6 GHz pada 2026 bagi memperluas akses Internet berkelajuan tinggi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan mudah alih selular di seluruh negara.

Kementerian Komunikasi dan Digital (Kemkomdigi) berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepat transformasi digital sambil menangani keperluan akses Internet yang lebih saksama, termasuk di kawasan yang masih berdepan kekangan liputan isyarat.

“Pelaksanaan pemilihan jalur frekuensi radio yang dijadualkan pada 2026 bertujuan menyediakan tambahan spektrum frekuensi radio yang boleh dioptimumkan oleh pengendali rangkaian mudah alih selular,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kemkomdigi berkata inisiatif itu selaras dengan Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional (RPJMN) 2025-2029 dan Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Digital 2025-2029.

Kementerian itu memaklumkan bahawa jalur 700 MHz, iaitu frekuensi radio jalur rendah yang turut dikenali sebagai “dividen digital”, tersedia selepas peralihan daripada siaran televisyen analog kepada televisyen digital.

Menurutnya, frekuensi ini mempunyai kelebihan dari segi liputan isyarat yang sangat luas serta keupayaan menembusi halangan fizikal seperti bangunan, sekali gus meningkatkan kualiti isyarat selular yang masih lemah, sama ada di luar atau dalam bangunan.

Sementara itu, kementerian berkata jalur 2.6 GHz merupakan frekuensi radio jalur pertengahan yang sesuai untuk menyokong saluran berkapasiti tinggi dan penghantaran data berskala besar seperti 5G.

“Jalur ini memberi tumpuan kepada menampung kepadatan trafik data tinggi di kawasan bandar serta menyediakan pengalaman Internet mudah alih berkelajuan tinggi yang lebih stabil,” katanya.

Kemkomdigi berkata proses pemilihan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih sekurang-kurangnya berteknologi 4G secara lebih meluas, khususnya di kampung dan daerah kecil yang masih berdepan kekangan akses telekomunikasi.

Inisiatif itu juga akan menggalakkan pengendali rangkaian mudah alih meningkatkan kualiti Internet berkelajuan tinggi melalui penyediaan dan pengukuhan perkhidmatan 5G.

Kementerian itu turut mengajak pihak berkepentingan, pemain industri telekomunikasi dan orang ramai untuk menyokong usaha mengoptimumkan penggunaan spektrum frekuensi radio sebagai sumber semula jadi terhad demi manfaat masyarakat dan ekonomi digital Indonesia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543037