AM

Kedutaan China Sumbang RM100,000 Kepada JAWI, Bantu Golongan Memerlukan

10/04/2026 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Kedutaan China di Malaysia bagi membantu golongan memerlukan.

JAWI menerusi kenyataan memaklumkan cek cura sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Kedutaan China di Malaysia Zheng Xuefang kepada Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan, sambil disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

“Sumbangan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik yang terjalin sejak 2020, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sehingga kini mencecah RM900,000 yang disalurkan kepada JAWI melalui inisiatif JAWI Food Bank,” menurut kenyataan itu.

JAWI memaklumkan sumbangan yang disalurkan itu bertujuan membantu golongan asnaf, fakir miskin, gelandangan, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU), selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan sosial setiap lapisan masyarakat.

Selain itu, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang serta dilaksanakan oleh jabatan itu untuk menyantuni masyarakat melalui pendekatan dakwah bil hal, dengan penekanan kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

Menurut JAWI, kerjasama berterusan itu turut mencerminkan semangat solidariti dan setiakawan antarabangsa, khususnya hubungan erat antara Malaysia dan China, selain berperanan mempromosikan budaya persefahaman dan keharmonian melalui pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543449