PONTIAN, 13 April (Bernama) -- Polis mengesan taktik menghantar dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing, selepas menemukan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Kukup, Kampung Penerok di sini kira-kira 9.15 malam, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menerusi rondaan Ops Tapis menemukan dadah jenis syabu, serbuk kristal disyaki methamphetamine dianggarkan seberat 1,528 gram bernilai RM 69,080 berdasarkan pasaran semasa.
"Siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dan tidak bekerja dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan dadah menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hadzrat Hussien berkata pesanan diambil daripada seorang lelaki tempatan di Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke Indonesia.
Beliau berkata suspek mengaku menerima tugasan daripada lelaki yang dikenali semasa berada di Penjara Simpang Renggam pada tahun 2020 dan menerima arahan melalui telefon dengan upah RM1,000, bagi mengambil serta menghantar bekalan dadah ke lokasi yang ditentukan.
Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah menerima arahan untuk mengambil bekalan dadah yang diletakkan di dalam kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru dan bernombor pendaftaran tidak pasti di kawasan parkir berhampiran Tea Garden, Perling dan dia kemudian menggunakan perkhidmatan Grab ke lokasi yang diberikan.
"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan oleh Majistret selama tujuh hari bermula Sabtu lepas hingga 17 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Manakala pemandu e-hailing, wanita tempatan berusia 43 tahun diberi jaminan polis dan akan dipanggil semula untuk beri keterangan.
"Pada masa sama, kita ingin menasihati masyarakat agar tidak menerima apa-apa upah penghantaran barangan yang tidak diketahui isi kandungannya dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran lumayan bagi mengelakkan menjadi keldai dadah, " katanya.
-- BERNAMA