AM

PTPTN Santuni Pelajar Cemerlang SPM Menerusi Program Ziarah Kasih

15/04/2026 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN bagi menyantuni golongan asnaf serta mempererat hubungan dengan komuniti.

Menerusi program itu, PTPTN menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan 8A, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah di kediamannya di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu disampaikan Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, dengan turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Nur Surfina merupakan anak tunggal yang baru kehilangan ibunya, Allahyarham Suriati Dollah pada 16 Mac, tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri, akibat kanser.

Norliza berkata PTPTN menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar itu dalam membuat persediaan melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

“Ujian kehilangan ibu pastinya memberi kesan mendalam dan menjadi cabaran besar buat beliau dalam meneruskan kehidupan serta mengejar cita-cita.

“PTPTN berharap sumbangan ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus melangkah ke hadapan demi masa depan lebih cemerlang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak, kadar dividen kompetitif serta jaminan kerajaan dan patuh syariah.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kriteria pemberian Geran Sepadan melalui Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun.

Selain itu, Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej simpanan serendah RM30 sebulan hingga RM500 sebulan dengan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta serta khairat kematian kepada pendeposit dan keluarga, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545243