EKONOMI

PayNet Perluas Inisiatif Tanpa Tunai Ke Lebih Banyak Institusi Pengajian Tinggi

15/04/2026 05:55 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merancang untuk memperluas inisiatif pembayaran tanpa tunai ke lebih banyak institusi pengajian tinggi dengan kerjasama universiti dan majlis perwakilan pelajar.

Inisiatif berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pelajar.

Langkah ini diambil susulan pertumbuhan pesat dalam urus niaga digital di kampus apabila kampus-kampus universiti di Malaysia mencatatkan 58.7 juta urus niaga digital pada 2025 di bawah inisiatif PayNet Digital Campus 4.0 (PDC 4.0).

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 24.4 juta urus niaga yang direkodkan pada 2024.

Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet Firdaus Ghani berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan bank-bank dan rakan ekosistem bagi melaksanakan lebih banyak inisiatif tanpa tunai di kampus.

“Melalui kerjasama ini, program berkenaan bermatlamat mempermudah para peniaga di kampus supaya menerima pembayaran digital sekali gus mempertingkat pengalaman pembayaran secara keseluruhan bagi para pelajar,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Firdaus berkata PDC 4.0 mencatatkan penyertaan tertinggi pada 2025 melibatkan 44 universiti di seluruh negara.

Ini termasuk semua 20 universiti awam di Malaysia yang merangkumi 14 cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta 11 universiti swasta.

Pencapaian ini mencerminkan peningkatan penggunaan pembayaran digital oleh pelajar bagi urusan harian seperti pembelian makanan, barangan runcit dan perkhidmatan kampus.

Beliau berkata pelajar sendiri yang memacu peralihan ke arah pembayaran tanpa tunai sambil menyebut satu inisiatif di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila pelajar membangunkan utmduitnow.com.

Platform tersebut menggunakan teknologi pengecaman aksara optik (OCR) berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengekstrak butiran urus niaga daripada resit.

“Ia merupakan cara yang kreatif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran digital yang lebih meluas di kampus. Pelajar juga mempunyai pelbagai pilihan cara pembayaran termasuk DuitNow QR, MyDebit, FPX dan JomPAY yang menjadikan pembayaran digital mudah diakses di seluruh kampus.

“Dengan pembelian harian yang kerap serta kempen penglibatan yang konsisten di bawah Kampus Digital, pembayaran tanpa tunai secara semula jadi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di kampus,” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Firdaus berkata PayNet sedang memberi tumpuan untuk memperkukuh hasil dan pembelajaran daripada PDC 4.0 selain sebarang pelaksanaan seterusnya bagi inisiatif Kampus Digital akan dibina berdasarkan asas yang kukuh.

“Pada peringkat ini, kami memberi tumpuan untuk memperkukuh hasil dan pembelajaran daripada PDC 4.0.

“Kejayaan program ini telah memperkukuh nilainya dalam mempromosi penggunaan pembayaran digital serta membangunkan kemahiran kepimpinan pelajar dan sebarang pelaksanaan pada masa hadapan akan dibina berdasarkan asas kukuh ini,” katanya.

Apabila ditanya mengenai penambahbaikan bagi fasa seterusnya, Firdaus berkata tumpuan akan diberikan kepada memperdalam impak melalui penyelarasan industri yang lebih kukuh, kerjasama ekosistem yang lebih erat dan penekanan yang lebih besar terhadap pelaksanaan praktikal.

Selain itu, peluasan tumpuan terhadap aspek keselamatan, kesedaran penipuan dan keupayaan pembayaran yang sedang berkembang.

-- BERNAMA  

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545279