Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Rusia menyatakan kesediaan untuk membekalkan kepala peledak berteknologi tinggi kepada Malaysia sebagai usaha membantu pembangunan dan pengeluaran tempatan pesawat tanpa pemandu (UAV) serta peluru berlegar yang turut dikenali sebagai dron “kamikaze”.
Jurucakap Rosoboronexport, perantara rasmi eksport pertahanan Rusia memaklumkan tawaran berkenaan bermatlamat memperkasakan rakan serantau dalam membangunkan keupayaan dron tempatan mereka sendiri.
Bercakap kepada Bernama di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini hari ini, jurucakap berkenaan berkata Rusia bersedia membekalkan pelbagai jenis kepala peledak, khususnya dalam kategori 2.5 kilogram (kg), 3 kg dan 5 kg.
“Kami turut menawarkan kepala peledak canggih ini untuk kegunaan di rantau ini. Sekiranya pengeluar tempatan, khususnya di Malaysia mahu membangunkan UAV atau peluru berlegar sendiri, Rusia bersedia membekalkan komponen ini bagi memastikan tahap ketepatan serangan yang tinggi,” kata jurucakap itu.
Langkah berkenaan berlaku pada masa yang kritikal ketika landskap geopolitik sedang berubah, terutamanya dengan melihat perkembangan konflik semasa antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran.
Penganalisis pertahanan mencadangkan ketegangan yang memuncak di Asia Barat telah menekankan keperluan strategik untuk Malaysia memperkukuh aset udaranya, khususnya dron bagi mempertahankan kedaulatan negara dan mengekalkan keupayaan pencegahan yang kredibel.
Malaysia telah mengambil beberapa langkah penting dalam memodenkan keupayaan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).
Kementerian Pertahanan baru-baru ini memuktamadkan pemerolehan UAV ANKA-S jenis Medium Altitude Long Endurance (MALE) buatan Turkiye bagi memperkukuh keupayaan perisikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sistem ANKA MALE-UAS itu juga mempunyai keupayaan membawa empat peluru berpandu mikro pintar MAM yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, ROKETSAN untuk misi serangan darat.
Unit pertama dron ANKA-S dilaporkan telah mula beroperasi di Pangkalan Udara Labuan.
Penghantaran dibuat secara berperingkat dengan unit awal menjalani fasa ujian dan penilaian yang ketat pada awal tahun ini bagi memastikan ia dapat disepadukan dengan lancar ke dalam struktur taktikal TUDM.
Jurucakap Rosoboronexport menyatakan walaupun Malaysia sedang menyepadukan platform MALE-UAS itu, tawaran Rusia lebih tertumpu kepada aspek taktikal peperangan dron, iaitu membolehkan pembangunan peluru berlegar lebih kecil yang berkesan serta telah terbukti berkesan dalam persekitaran pertempuran moden.
-- BERNAMA