Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Airbus akan memperkukuh kehadirannya dalam sektor pertahanan di Malaysia menerusi beberapa perjanjian baharu yang dimeterai pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Inisiatif ini sekali gus menegaskan komitmen jangka panjang Airbus untuk menyokong sektor pertahanan negara selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Ketua Wakil Airbus di Malaysia Burhanudin Noordin Ali berkata perjanjian itu merangkumi memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LoI) dengan Boustead Holdings serta syarikat aeroangkasa Airod Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd, dan syarikat teknologi berasaskan simulator Ikramatic Systems.
“MoU ini melibatkan pembangunan keupayaan di Malaysia untuk membina keupayaan tempatan dalam bidang satelit bagi menyokong NDIP serta membangunkan kepakaran tempatan bagi pembinaan satelit untuk masa depan,” katanya kepada Bernama selepas majlis memeterai MoU dan LoI itu hari ini.
Mengulas lanjut mengenai MoU dan LoI dengan Boustead, Burhanudin berkata Airbus Defence and Space bersama Boustead akan memperkukuh kerjasama dalam bidang komunikasi satelit ketenteraan (MilSatCom), termasuk meneroka kerjasama teknikal bagi memastikan pelaksanaan berjaya serta kelestarian jangka panjang program MilSatCom masa depan Malaysia.
Menurutnya MoU ini turut membuka laluan kepada pembangunan latihan komprehensif sebagai sebahagian daripada program itu di samping menilai pelaksanaan kerjasama di bawah rangka kerja program kolaborasi industri manakala Airbus Helicopters akan memuktamadkan peranan Boustead sebagai kontraktor utama bagi jualan helikopter tentera di Malaysia.
Mengenai kerjasama dengan Airod, Burhanudin berkata sebagai penggiat pertahanan yang telah lama di Malaysia, Airbus sedang berusaha untuk memindahkan keupayaan kepada industri tempatan, membolehkan Airod untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat pengangkut tentera A400M.
Menurutnya kerjasama dengan Airod pula melibatkan penerokaan peluang untuk membangunkan keupayaan MRO bagi pesawat pengangkut tentera A400M di Malaysia bagi menyokong kesiapsiagaan operasi armada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Oleh itu, ini adalah sesuatu yang kami sangat banggakan, dan seperti yang anda tahu, TUDM mempunyai empat pesawat sekali gus membolehkan Airod melaksanakan beberapa aktiviti penyelenggaraan pada A400M,” katanya.
Mengenai Ikramatic Systems, Burhanudin berkata Airbus akan bekerjasama dengan syarikat itu bagi membangunkan keupayaan simulator untuk menyokong operasi helikopter H225, sebagai antara usaha untuk memperkukuh penyertaan industri tempatan dan membina keupayaan dalam negara melibatkan ekosistem pertahanan Malaysia.
Ketika ditanya mengenai nilai MoU dan LoI yang dimeterai hari ini, beliau berkata kumpulan itu tidak boleh mendedahkannya buat masa ini.
-- BERNAMA