SUKAN

Gunaseelan Kembali Ke Pentas Antarabangsa Rali Di China Selepas 15 Tahun

21/04/2026 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Apri (Bernama) -- Pelumba rali Malaysia, Gunaseelan Rajoo bakal membuat kemunculan semula di pentas antarabangsa selepas 15 tahun apabila menyertai Kejuaraan Rali Mile Auto 2026 di Kunming, China dari 20 hingga 26 April ini.

Kembalinya beliau menandakan penyertaan kompetitif pertama sejak 2011, selepas sebelum ini membina reputasi sebagai pelumba yang konsisten di rantau Asia Pasifik.

Gunaseelan yang pernah digelar “Mr Consistent” sepanjang karier awalnya berkata peluang kembali ke arena rali antarabangsa amat bermakna buat dirinya.

“Ini adalah detik yang sangat istimewa bagi saya. Selepas 15 tahun, kembali berada di belakang stereng di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang saya nantikan sekian lama.

“Kunming menyimpan banyak kenangan manis buat saya, dan kembali ke sini untuk kejohanan berprestij seperti ini menjadikannya lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gunaseelan akan bergandingan dengan bekas juara dunia rali, Chong, yang juga dikenali sebagai “Malay Chong”, selaku juruarah. Kejohanan itu dijangka menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk lebih 20 pelumba antarabangsa, yang bakal berdepan laluan mencabar di wilayah Yunnan.

Selain persaingan, penyertaan beliau juga selari dengan usaha mempromosikan Malaysia di pentas antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya berbesar hati mewakili Malaysia bukan sahaja sebagai pelumba, tetapi juga sebagai duta.

“Platform ini memberi peluang untuk kita mengetengahkan kekuatan Malaysia – daripada sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan hingga pendidikan – di samping menjalinkan hubungan bermakna dengan rakan sejawat di China,“ katanya.

Dalam persiapan menghadapi cabaran laluan di Yunnan, Gunaseelan optimis dengan kembalinya beliau ke arena sukan itu.

“Ini baru permulaan. Saya menantikan lebih banyak kejohanan antarabangsa tahun ini dan tahun hadapan serta meneruskan perjalanan ini sambil membawa nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547784