KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelbagai bentuk bantuan segera, bagi meringankan beban mangsa kebakaran Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah.
Antaranya, sumbangan ihsan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,500 kepada setiap keluarga melibatkan kira-kira 300 keluarga, dengan anggaran keseluruhan RM450,000 yang akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pengumuman itu dibuat ketika Perdana Menteri melawat mangsa terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan yang melibatkan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah serta beberapa kementerian berkaitan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat, manakala Yayasan Kebajikan Sabah menyampaikan bantuan tambahan sebanyak RM1,000.
Anwar berkata Kementerian Pendidikan pula akan menyediakan bantuan khas RM300 bagi setiap anak warganegara Malaysia yang bersekolah, melibatkan 454 murid daripada 12 sekolah.
Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara pula, menyediakan penggantian percuma dokumen pengenalan diri menerusi perkhidmatan bergerak ke lapangan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), merangkumi Sijil Kelahiran, MyKid, MyKad, Sijil Kematian dan Sijil Perkahwinan bukan Islam.
Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia turut menyediakan penggantian pasport bagi mangsa yang terjejas.
Menerusi hantaran di Facebook kemudiannya, Anwar berkata ia bukan sekadar bantuan, tetapi cerminan ihsan dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan tiada yang ditinggalkan dalam saat getir ini.
“Sumbangan tunai, sokongan kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah serta penggantian dokumen penting dilaksanakan tanpa lengah, agar mereka bangkit semula dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan sesekali membiarkan mangsa kebakaran tersebut bersendirian.
“Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati.
“Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan,” katanya.
Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
-- BERNAMA