AM

Lebih Setengah Juta Dewasa Hidap Empat Penyakit Tidak Berjangkit - Dzulkefly

25/04/2026 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia berdepan krisis kesihatan awam yang membimbangkan apabila penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit jantung terus menjadi ancaman utama kesihatan rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), lebih setengah juta orang dewasa di negara ini menghidap sekurang-kurangnya empat NCD utama secara serentak.

Beliau berkata statistik turut menunjukkan satu daripada enam orang dewasa menghidap diabetes, manakala satu daripada tiga mengalami tekanan darah tinggi.

“Situasi ini bukan sekadar isu kesihatan peribadi, tetapi turut memberikan kesan besar kepada ekonomi negara yang dianggarkan menanggung kerugian kira-kira RM64.2 bilion setiap tahun akibat NCD,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Resipi ‘Mai Kurang’ dan Program Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata antara punca utama peningkatan NCD ialah tabiat pemakanan rakyat yang masih tidak sihat, termasuk pengambilan gula dan garam berlebihan.

“Data NHMS 2024 menunjukkan 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi saranan, manakala tiga daripada empat orang dewasa mengambil garam berlebihan,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan pendekatan lebih menyeluruh bagi mengubah tingkah laku kesihatan rakyat, bukan sekadar kempen kesedaran.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberikan tumpuan kepada pendekatan choice architecture bagi menggalakkan pilihan makanan lebih sihat dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata pelancaran Buku Resipi ‘Mai Kurang’ adalah antara intervensi penting bagi menyokong usaha berkenaan.

“Buku ini merupakan instrumen intervensi yang memudahkan rakyat menyediakan hidangan sihat, rendah gula, garam dan kalori dengan cara mudah serta menepati cita rasa tempatan,” katanya.

Dzulkefly berkata usaha menangani NCD memerlukan peralihan daripada pendekatan rawatan penyakit kepada pencegahan dan kesejahteraan yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, komuniti dan individu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549259