SEREMBAN, 5 Mei (Bernama) -- Beberapa jalan di sekitar Paroi akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Program Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung di tapak parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman esok.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata penutupan jalan akan bermula pada 7 malam sehingga program selesai iaitu melibatkan Jalan Kedidi, Taman Paroi Jaya dan Lorong Kedidi 1, 2, 3, 4, 5 serta 7.
“Pengguna jalan raya khususnya penduduk di kawasan Lorong Kedidi 1 hingga 7 dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Persiaran Merak dan Jalan Tok Dagang.
"Program ceramah berkenaan dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan utama Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota polis bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan sepanjang program berlangsung.
Sebarang pertanyaan lanjut, katanya boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban melalui talian 06-6033477 atau 06-6014999.
-- BERNAMA