AM

Penurunan Sewa Premis Bantu Kelangsungan PMKS - Persatuan, Peniaga

06/05/2026 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Persatuan dan peniaga menyifatkan arahan kerajaan menurunkan kadar sewa premis perniagaan sebagai langkah signifikan dalam menyokong kelangsungan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan kenaikan kos susulan krisis bekalan global.

Di PAHANG, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pahang-Pekan melihat pengurangan kadar sewa premis itu mampu membantu peniaga kecil mengurangkan beban kos operasi bulanan, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka mengurus perniagaan dengan lebih mampan.

Pengerusi persatuan itu Ruzaidah Anim berkata langkah berkenaan memberi impak ketara khususnya mengurangkan komitmen bulanan selain menyalurkan lebihan kewangan kepada keperluan lain.

“Apabila sewa dikurangkan, kos bulanan turut menurun dan ini membantu kami mengurus perbelanjaan dengan lebih baik. Lebihan (wang) boleh digunakan sebagai modal pusingan atau menampung kos lain seperti utiliti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Di PULAU PINANG, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) mengambil langkah segera dengan memberikan diskaun sewa sehingga 20 peratus kepada peniaga yang menyewa di lebih 400 premis di bawah kendaliannya.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata kadar minimum sewa yang dikenakan adalah serendah RM100 sebulan dengan pelaksanaan diskaun berkenaan melibatkan implikasi kewangan sederhana kepada PERDA.

“Langkah ini mencerminkan komitmen PERDA dalam membantu peniaga selaras arahan Perdana Menteri yang prihatin terhadap cabaran dihadapi golongan peniaga,” katanya.

Di SELANGOR, peniaga pakaian wanita dan barangan mainan kanak-kanak, Norzaidah Johari, 52, yang menyewa reruai di Pejabat MARA Daerah Shah Alam berkata beliau membayar sewa RM1,500 sebulan dan berharap kadar itu dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 20 peratus bagi membantu meringankan beban kos operasi.

“Jualan ketika ini tidak banyak berubah, namun saya masih mampu bertahan meskipun berdepan kenaikan kos. Jadi, jika MARA menurunkan kadar sewa seperti yang disarankan Perdana Menteri, saya memang menyambut baik dan bersyukur, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,” katanya.

Di JOHOR, peniaga kek dan roti, Mohammad Khairul Izzat Ariss, 43, yang menjalankan perniagaan di Arked MARA Batu Pahat berkata pengurangan sewa premis boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain seperti promosi, menambah pengeluaran produk serta meningkatkan kualiti produk kepada pelanggan.

“Contohnya, pengurangan RM100 setiap bulan boleh digunakan untuk promosi seperti memperkenalkan produk baharu bagi menarik minat pelanggan,” katanya.

Sementara itu, di KELANTAN, peniaga di Bazar Serambi Malam, Nur Lily Shahira Mohd Jazlan, 28, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dapat mengambil pendekatan sama bagi mengurangkan beban dihadapi peniaga di negeri itu ketika ini.

"Saya mula berniaga di bazar ini sejak 2017 dengan bayaran sewa tapak sebanyak RM300 sebulan tidak termasuk bil elektrik. Pelanggan pada bulan lepas pula semakin berkurangan,” katanya yang menjual barangan kosmetik, beg tangan dan jam.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553524