SUKAN

KBS Terus Pantau NFDP, Kekal Dengan Peruntukan Sedia Ada

14/05/2026 09:10 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan jaminan akan terus memantau perkembangan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) susulan kebimbangan mengenai kekangan kewangan, yang didakwa menjejaskan usaha pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan pembangunan sukan akar umbi, khususnya menerusi NFDP terus berjalan mengikut matlamat asal yang telah ditetapkan.

“Kita akan sentiasa berbincang dengan pihak MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga sudah pasti dengan kewangan ataupun peruntukan yang telah diperuntukkan sebelum ini, kita ingin memastikan bahawa ia dapat mencapai sasaran dan tujuan utama,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Pengarah Teknikal NFDP Datuk Ong Kim Swee mengenai NFDP kini berdepan kekangan kewangan serius sehingga sukar menghantar skuad pelbagai peringkat umur menyertai pendedahan antarabangsa. 

Situasi itu menyebabkan pemain muda negara terutama di bawah umur 13 hingga 17 tahun kehilangan platform penting untuk menimba pengalaman kompetitif pada pentas antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata kementerian sentiasa membuka ruang perbincangan bagi memastikan matlamat asal penubuhan NFDP dapat diteruskan.

“Itu adalah yang paling penting sekali. Namun, berkenaan dengan detail dan sebagainya sudah pasti kita sentiasa membuka ruang kepada perbincangan untuk kita mencapai matlamat dan tujuan asal itu insya-Allah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada sebarang keputusan baharu dibuat setakat ini berhubung tambahan peruntukan kepada program berkenaan.

“Insya-Allah dalam perbincangan tapi tidak ada sebarang keputusan, kita masih tetap dengan peruntukan yang sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556672