KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia mesti membina keupayaan eksport yang lebih berdaya tahan berbanding terus bergantung kepada pelepasan tarif sementara Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif global sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan AS 1974 selepas Mahkamah Agung AS membatalkan dasar-dasar perdagangan beliau sebelum ini.
Seksyen 122 memberi kuasa kepada Presiden AS untuk mengenakan surcaj import sementara sehingga 15 peratus atau kuota bagi tempoh tidak melebihi 150 hari.
"Kita menyedari bahawa keputusan itu telah memberi manfaat kepada Malaysia dari segi perspektif tarif perdagangan yang lebih rendah memandangkan hampir separuh daripada eksport Malaysia, terutamanya barangan elektronik dan jentera dikecualikan daripada levi berkenaan.
"Walaupun keadaan ini telah meningkatkan kedudukan daya saing relatif Malaysia berbanding rakan serantau, ia hanyalah kelegaan sementara kerana masa depan masih tidak menentu selepas 24 Julai apabila tempoh Seksyen 122 tamat," kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-32: Menaikkan Siling, Meninggikan Lantai: Agenda Pekerjaan sebagai Agenda Produktiviti (Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda).
Akmal Nasrullah menegaskan bagi mengurangkan risiko susulan berakhirnya tempoh Seksyen 122 tidak lama lagi, Malaysia perlu beralih kepada segmen elektrik dan elektronik yang bernilai lebih tinggi dan sukar diganti, di mana daya saing didorong oleh keupayaan teknologi dan bukannya perbezaan tarif.
"Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia perlu meningkatkan pelaburan secara signifikan dalam penyelidikan dan pembangunan, memupuk inovasi tempatan serta menangani jurang yang lebih luas dalam persekitaran perundangan dan perniagaan negara," kata beliau.
Akmal Nasrullah berkata dalam pada masa yang sama, Malaysia akan mempergiat usaha untuk meluaskan rangkaian perdagangan global dan memperkukuh integrasi ekonomi bagi meningkatkan daya saing produk dan perkhidmatan 'Buatan Malaysia'.
"Dengan memperluas akses pasaran, Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada rakan dagang tradisional sambil membina portfolio perdagangan yang lebih seimbang dan pelbagai.
“Akhirnya, usaha ini akan memastikan Malaysia bukan sahaja mampu bertahan daripada kejutan luaran, tetapi juga muncul lebih kukuh, lebih berdaya saing dan lebih bersedia untuk mencapai pertumbuhan yang mampan, inklusif dan berkualiti tinggi untuk rakyat,” tambahnya.
-- BERNAMA