DUNIA

Dewan Perwakilan AS Lulus Resolusi Gesa Trump Desak Xi Bebaskan Tahanan Di China

14/05/2026 07:24 PM

WASHINGTON, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu sebulat suara meluluskan resolusi dwipartisan yang menggesa Presiden Donald Trump supaya mendesak rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping berhubung pembebasan lima individu yang ditahan di China, lapor Agensi Anadolu.

Resolusi yang dikemukakan oleh anggota Dewan Perwakilan Chris Smith itu diluluskan dengan undian 414-0, menjelang sidang kemuncak Trump bersama Xi pada Khamis di Beijing.

Resolusi itu menggesa Trump supaya “mengutamakan pembebasan atas dasar kemanusiaan” bagi lima individu yang disifatkan “ditahan secara tidak adil” oleh China, iaitu Pastor Jin Mingri, Pastor Gao Quanfu dan isterinya Pang Yu, Dr Gulshan Abbas serta hartawan media Hong Kong Jimmy Lai.

Resolusi itu turut menggesa Trump mendapatkan bukti yang boleh disahkan bahawa tahanan berkenaan masih hidup, akses kepada peguam bebas, komunikasi dengan keluarga serta rawatan perubatan untuk mereka.

Ketika berucap di Dewan sebelum undian, Smith menyifatkan resolusi itu sebagai tuntutan moral dan soal kredibiliti nasional AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557041